“1Malaysia
adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang
berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya
menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.”
- Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak -
Perdana Menteri Malaysia
KONSEP
1MALAYSIA
1Malaysia
adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan
di kalangan rakyat Malaysia yang
berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya
menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah
dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan
pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada
untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai
kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.
Dalam erti kata lain 1Malaysia
digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara,
iaitu Wawasan 2020 tercapai
jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan
masyarakat.
Pengertian
ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan
2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan
ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyat nya bersatu padu.
Perpaduan
yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang
diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan
dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.
Sebaliknya
1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan
serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya
sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
1Malaysia menekankan sikap penerimaan
di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana
sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup
bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu
negara.
Menjadi asas
kepada semua ini adalah prinsip
keadilan untuk semua kaum, yang
membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak
akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan
kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan
dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada
golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
1Malaysia adalah penerusan
agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan
bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan
membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang
utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan
dengan lebih lancar.
ASAS-ASAS 1MALAYSIA
• Perpaduan
adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara iaitu mencapai
status Negara Maju menjelang tahun 2020.
• 1Malaysia adalah penerusan agenda membina
negara
• Perpaduan sememangnya
telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula
sejak kemerdekaan dicapai. 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat
perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.
• Untuk mencapai kemajuan bagi negara,
rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk
sikap penerimaan antara
kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka
urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
ASPEK - ASPEK UTAMA 1MALAYSIA
Konsep
1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama seperti berikut:
• Aspek Pertama –
Penerapan Teras-Teras Perpaduan
Menerapkan teras-teras perpaduan
sebagai budaya dan amalan semua rakyat Malaysia. Teras perpaduan ini adalah
komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu di kalangan rakyat
berbilang kaum. Teras Perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang
seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.
• Aspek Kedua – Penerapan
Nilai-Nilai Aspirasi
Nilai-nilai Aspirasi yang digagaskan dalam
konsep 1Malaysia ialah nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan
dinamik yang akan memacu negara ke arah mencapai status negara maju.
Nilai-nilai aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang berdaya
maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan ini seterusnya membantu
melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
TERAS-TERAS PERPADUAN
1. Penerimaan
1Malaysia menekankan sikap
Penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima
keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan
saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
Ia adalah peningkatan ketara dari
sikap toleransi semata-mata.
2. Prinsip-prinsip
Kenegaraan yang berasaskan:
a.
Perlembagaan Persekutuan
b. Rukun
Negara
3. Keadilan
Sosial
Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada
mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf
kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar
kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan
kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
PENERAPAN
NILAI-NILAI MURNI
Ketiga-tiga
Teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai- nilai murni termasuk nilai-nilai
berikut:
• Hormat-menghormati : Hormat menghormati antara semua kaum
termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga
menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga
tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-undang yang menyentuh
sensitiviti kaum.
• Rendah hati (Tawadhuk): Rasa rendah hati atau Tawadhuk adalah
perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara yang sama dan
kita perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi pengertian bahawa
setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan kelebihan nya yang
sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan masing-masing demi untuk
memperkukuhkan masyarakat dan negara.
• Kesederhanaan:
Ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang berbangkit. Dalam negara
bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata bersifat
ekstrem tidak langsung boleh diterima kerana ia boleh membawa kepada masalah
ketidakstabilan sosial yang lebih parah.
• Berbudi-bahasa:
Budi-bahasa ialah tuturkata dan tingkah laku yang tertib dan berpaksikan
kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak lain bagi
menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat.
Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan
Dalam
melaksanakan aspek kedua gagasan 1Malaysia, nilai-nilai berikut perlu diberi
penekanan :
• Budaya
Berprestasi Tinggi : Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang
dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa dan “acuh tak
acuh”tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju.
• Budaya
Ketepatan : Sebagai rakyat sebuah negara yang berhasrat mencapai status negara
maju,rakyat Malaysia perlu dikenali dengan budaya ketepatan, termasuklah
menepati waktu dan mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan semua tugas dan
kewajipan.
• Budaya
Ilmu: Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya
memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk
sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu
sepanjang hayat.
• Integriti : Rakyat Malaysia perlu memiliki
integriti yang tinggi dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab agar
bangsa dan negara sentiasa disegani dan dihormati oleh semua pihak. Integriti
merangkumi sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas
dan melaksanakan tanggungjawab.
• Ketabahan:
Ketabahan dalam mengharungi masalah dan cabaran yang mendatang. Rakyat Malaysia
seharusnya bersifat tidak mudah mengaku kalah, sebaliknya perlu memiliki
keyakinan diri yang tinggi serta semangat juang yang kental dalam apa jua
bidang yang diceburi.
• Kesetiaan:
Kesetiaan sepenuhnya kepada negara Malaysia dan kesediaan untuk berbakti dan
berkorban demi negara yang tercinta.
• Kebijaksanaan:
Ialah cara berhadapan dengan sebarang masalah dengan penuh berhemah dan teliti
agar tidak berlaku perkara-perkara yang menyinggung hati dan perasaan mana-mana
pihak yang lain.
• Budaya Inovasi : Adalah kesediaan kita
sebagai rakyat Malaysia untuk mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua
lapangan yang kita ceburi. Rakyat Malaysia perlu dikenali sebagai
individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing. Kita
mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam
menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan